BARISAN PEMUDA UMNO LARUT

BARISAN PEMUDA UMNO LARUT

Ahad, 28 November 2010

Pembangunan & Masa Depan Larut - Membentuk Generasi Peka

Membicarakan mengenai pembangunan di Larut merupakan satu perbincangan yang bukan sedikit faktor yang perlu kita ambil kira . Selain dari persediaan menghadapi pembangunan secara fizikal , kita juga perlu menitik beratkan soal budaya , pemikiran ,dan perspektif baru minda masyarakat selain masalah sosial dan pertembungan antara ketamakan dan kejujuran serta banyak lagi faktor - faktor lain yang akan wujud hasil daripada urbanisasi .

Rata - rata masyarakat luar bandar di Larut masih kuat mengamalkan budaya kehidupan masyarakat Melayu yang diwarisi dari nenek moyang kita , yang sebenarnya harus menjadi antara agenda utama perjuangan kita untuk mempertahankannya . Pertaruhan yang kita perlu hadapi akibat daripada mengejar kemajuan adalah antara mengekalkan budaya kita seiring dengan kemajuan dan menghadapi masalah kehilangan identiti di kalangan generasi akan datang . Barangkali ada yang berpendapat bahawa , faktor - faktor ini tidak perlu diambil kira buat masa ini kerana Larut tidak mungkin dilanda arus pembangunan yang pesat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang . Namun hakikatnya , inilah fenomena yang telah kita lalui sejak lebih 150 tahun yang lalu . Daripada sebuah bangsa yang menguasai perdagangan dan perniagaan di negara ini , akhirnya kita terpaksa menjadi peniaga kelas dua di negara kita sendiri .


Sedar atau tidak bahawa bangsa kita seolah - olah menjadi sebuah bangsa yang muda dan bertatih dalam persaingan global ekonomi bukan sahaja di peringkat antarabangsa , tetapi juga di negara kita sendiri . Tidak kita nafikan bahawa kita mempunyai puluhan , malah ratusan syarikat gergasi yang hari ini telah pun menguasai pelbagai sektor perdagangan di peringkat tempatan dan antarabangsa . Namun apakah itu sudah cukup untuk menjadi tanda aras kejayaan bangsa kita ? kita harus juga merenung sejarah silam kita ratusan tahun sebelum kita mula dijajah oleh barat , dimana bangsa kita merupakan peniaga dan pedagang yang disegani dan terkenal di seluruh rantau ini sehingga ke Eropah. Apakah yang senario dan status bangsa kita andai kita langsung tidak pernah dijajah oleh mana - mana kuasa asing dalam tempoh itu ? Sudah pasti kita hari ini adalah salah sebuah negara maju dan kuat dari setiap sudut di dunia pada hari ini . Justeru , sejarah harus menjadi landasan kita dalam apa juga perancangan masa depan . Malah sejarah itu harus diguna pakai walau di mana pun kita berada , termasuk di Larut ini .


Oleh sebab itu , saya amat khuatir dengan sebarang pembangunan yang bakal melanda kawsan kita kerana memikirkan sejauh manakah kita telah bersedia untuk menghadapinya . Saya bukan anti pembangunan , tetapi biarlah pembangunan yang kita kecapi tidak hanya menjadi kebanggaan dan hiasan semata - mata kepada masyarakat kita di sini . Biarlah kita turut sama terlibat dalam era pembangunan itu sebagai pemangkin dan juga penggerak utama serta menjadi penentu hala tuju bangsa kita sendiri .


Justeru itu , kita harus melihat kepada sejarah , paling tidak sejarah bangsa kita sendiri . Bagaimana kita terpaksa hanya menjadi penonton dan pengguna semata - mata dalam memeriahkan sesebuah kemajuan . Sedangkan sepatutnya kitalah yang perlu menjuarai kejayaan dan pembangunan itu . Sebagai panduan , kita boleh mengambil pekan gerik sebagai contoh ,. Seingat saya sekitar 20 ke 25 tahun yang lalu , Gerik tidak jauh bezanya dengan Batu Kurau pada masa itu . Namun hari ini , Pekan Gerik telah jauh meninggalkan Batu Kurau dari sudut kemajuan , malah Pekan Pengkalan Ulu juga jauh lebih membangun berbanding Batu Kurau .


Namun bolehkah kita berbangga dengan pekan - pekan tersebut jika kita tinjau dari sudut sejauhmanakah kita telah berjaya untuk turut meletakkan kejayaan bangsa kita seiring dengan kepesatan pembangunan di sana? Namun begitu , Gerik bukanlah satu - satunya contoh yang boleh kita ambil sebagai rujukan , malah tempat - tempat lain seperti Baling dan Kulim yang satu ketika dulu juga adalah sebaris dengan kita di Larut ini . Adakah tempat - tempat ini menngambil masa sehingga puluhan tahun untuk mencapai pembangunan seperti hari ini ? Pastinya tidak ! Pekan - pekan ini 'terpaksa' maju kerana pelbagai faktor termasuk pertambahan penduduk , peluang pekerjaan serta faktor geografi dan pentadbiran politik serta desakan kemajuan global . Persoalannya , siapakah yang menjuarai perebutan peluang perdagangan di pekan - pekan ini ? Apakah puncanya ? Tidakkah kita mahu belajar daripada apa yang telah dilalui oleh pekan - pekan ini untuk menjadikannya sebagai persediaan kita menghadapi kemajuan dan pembangunan di Larut dengan lebih terancang dan tersusun semata - mata untuk memastikan kelangsungan survival generasi Melayu selepas kita? Maka sebab itu pada pandangan saya kita harus bermula dari tatih sebelum bangun berlari . Jangan kita terlampau ghairah untuk melihat kemajuan fizikal Larut sedangkan dalam masa yang sama kita mengabaikan nasib generasi kita semasa dan sepanjang kemajuan itu . Masa tidak akan menanti kita untuk maju , malah kemajuan itu kini sedang berada diambang pintu . Sama ada kita bersedia atau tidak , ianya tetap akan melanda bila tiba masanya akibat faktor - faktor yang telah saya sebutkan tadi .


Pada pandangan saya , tugas ini tidak boleh kita letakkan ke bahu kerajaan semata - mata . Kerajaan barangkali boleh menyediakan segala keperluan yang kita perlukan dari masa ke semasa . Tetapi tanggungjawab kita sebagai anak temapatn dan generasi Melayu yang prihatin harus turut sama mengerakkan persediaan kita mengahadapi kemajuan dan pembangunan . Tidak ada gunanya kita kerajaan menyediakan fasiliti kelas pertama tetapi kita tidak bijak menggunakannya atau lebih malang tidak tahu menggunakannya . Sebagai contoh yang paling mudah , berapa ramaikah di kalangan anak muda kita yang mengunjungi pusat internet desa atau perpustakaan desa untuk mendapatkan maklumat dan menambah ilmu pengetahuan ? Malah sepanjang penglibatan saya dalam politik dan berhadapan dengan mesyarakat , tidak pernah sekali saya mendengar dari kalangan anak muda yang memberi komen mengenai kualiti buku dan bahan bacaan di perpustakaan desa yang tidak menepati selera pembangunan minda masyarakat . Apakah mereka telah berpuas hati dengan senarai buku dan bahan bacaan yang ada atau mereka tidak pernah sekali pun menguinjungi perpustakaan yang disediakan oleh kerajaan ? Persoalan demi persoalan seperti ini menjadikan kita semakin runsing bila memikirkan soal mendepani cabaran pembangunan oleh bangsa kita sendiri .


Faktor utama adalah membentuk minda masyarakat kita supaya bersedia dan berdaya saing . Perjuangan kita hari ini harus menjurus ke arah itu hari ini . Perubahan perspektif dan perasaan 'takut' ketinggalan harus kita pupuk bersama . Ianya bermula dari rumah kita sendiri . Anak - anak yang lahir hari ini harus kita lengkapkan dengan semangat dan kerajinan mengejar ilmu dan pengetahuan n. Hanya dengan ilmu dan amal , kita akan dapat melahirkan generasi yang berdaya saing dan cekal. Tidak ada bangsa yang berjaya tanpa memiliki semangat kebangsaan yang tinggi . Amerika berjaya kerana mereka memiliki keegoan terhadap kecemerlangan bangsa mereka sendiri . Sehinggakan mereka sanggup mencipta sukan yang beridentitikan bangsa mereka seperti American Football misalnya . Malah sistem pentadbiran mereka juga dicipta dan diolah agar tidak menyamai sistem westmister yang diamalkan British demi menjaga identiti mereka sedangkan dari sudut sejarah mereka lebih dekat dengan sistem perundangan British tersebut .


Di Larut kini semakin ramai guru -guru yang merupakan anak tempatan . Mereka boleh menjadi penggerak utama dalam usaha melahirkan generasi baru masyarakat Larut yang lebih berdaya saing . Generasi yang mereka didik hari ini , dalam tempoh kurang 15 tahun akan menjadi masyarakat perdagangan , sumber tenaga kerja dan pemikir di kawasan kita . Memberikan persediaan minda dan perspektif baru dunia penuh cabaran kepada mereka , bakal menjadikan kita terus menjuarai kemajuan di tempat kita . Pun begitu , kita sebagai pendokong kehidupan masa kini harus terus membuat persediaan kerana kitalah barisan pertama yang akan berhadapan dengan kemajuan yang kita harap - harapkan sejak sekian lama. Sedarkah kita bahawa kemajuan yang perlu kita lalui dalam tempoh satu tahun di zaman ini , hampir sama dengan tempoh 50 tahun atau lebih di zaman awal revolusi moden di Eropah ratusan tahun dahulu . Justeru , jangan kita risau tentang bilakah kita akan maju , tetapi risaulah apakah kita sudah bersedia untuk maju .

4 ulasan:

  1. pru 13 tukar ke pakatan rakyat , baru maju batu kuro ..kah kah kah

    BalasPadam
  2. kita tidak pernah lihat pelan cadangan pembangunan batu kurau. kenapa tidak wujudkan pusat pengajian seperti contoh MRSM, IKM, kolej matrikulasi dan sebagainya. klinik kesihatan juga perlu dinaiktaraf. pembangunan kedai-kedai baru bg menggantikan kedai-kedai lama. tanpa prasarana ini semua takkan kelihatan pembangunan di batu kurau. biarpun berapa lama kita memerintah. apakah ADUN batu kurau tidak mempunyai idea/future thinking.

    BalasPadam
  3. Percepatkan projek jalan dari anak kurau ke taiping. Ladang sawit (Malakof, dll) yg berkenjah tu tukar jd kawasan perindustrian. Dulu org luar jd ADUN, la ni org BK dh jd adun. wat apa lg.

    BalasPadam
  4. Tunggu pilihan raya kecil la pulak kot.... baru Jib jambu si biir merah umumkan projek....

    BalasPadam