BARISAN PEMUDA UMNO LARUT

BARISAN PEMUDA UMNO LARUT

Rabu, 17 Februari 2010

KEBAKARAN RUMAH DI BATU KURAU

Petang tadi, lebih kurang jam 6.20 petang sebuah rumah yang terletak di kawasan belakang SK Toh Sajak, Batu Kurau (Kampung Sungai Akar) telah terbakar. Kebakaran dikatakan bermula di dapur dan seterusnya merebak ke seluruh rumah. Api begitu cepat merebak apalagi rumah tersebut adalah rumah papan dan cuaca sekarang pula yang panas dan kering. Bantuan awal untuk memadamkan kebakaran tersebut diterima daripada Pasukan Sukarelawan Bomba Batu Kurau. Manakala Pasukan Bomba dari Taiping tiba selepas dimaklumkan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilapurkan.

Dalam kemalangan ini, walaupun bantuan awal diterima daripada Pasukan Sukarelawan Bomba tersebut, namun tindakan sukar dilakukan oleh kerana ketiadaan pili bomba yang berhampiran. Mereka terpaksa mendapatkan pili bomba yang paling dekat, iaitu di SK Batu Kurau yang jaraknya lebih kurang 300 meter dari tempat kejadian. Masalah ini perlu diberikan perhatian oleh pihak yang berkenaan, kerana dimaklumkan, ini bukanlah kejadian yang pertama di kawasan tersebut. Dimaklumkan juga bahawa, perkara ini telah pernah dibawa ke pengetahuan pihak berkenaan, tetapi masih belum menerima sebarang tindakan.
Sekalung penghargaan dan tahniah kepada Pasukan Sukarelawan Bomba Batu Kurau dan juga penduduk-penduduk yang memberikan bantuan segera kepada mangsa kebakaran. Pihak JKKK, Pejabat ADUN serta Pemuda telah memberikan sumbangan awal kepada mangsa kebakaran, dan akan mengambil tindakan segera untuk membantu mangsa yang telah kehilangan tempat tinggal selepas ini. Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah menghubungi pihak-pihak yang disebutkan tadi.






Saudara Lan Tukang... mangsa kebakaran...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan