BARISAN PEMUDA UMNO LARUT

BARISAN PEMUDA UMNO LARUT

Sabtu, 17 Oktober 2009

AMANAT PRESIDEN....


KUALA LUMPUR 16 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi amaran kepada semua ahli UMNO supaya tidak merosakkan dan mengeksploitasi sebarang sistem yang terkandung dalam pindaan perlembagaan parti itu demi kepentingan diri.

Sambil membayangkan bahawa beliau tidak akan berkompromi dalam soal berkenaan, Presiden UMNO itu dengan nada tegas berkata: "Kita serius, jangan... minta maaf... kalau kita rosakkan alamatnya kita sama-sama akan tanggung akibatnya."

Ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Najib berkata, UMNO ingin menampilkan imej yang bersih, berintegriti dan disenangi rakyat.

"Kita hendak menjadi juara rakyat bukan kalut sesama kita, bukan berbalah sesama kita dan bukan hendak dapat kontrak," tegasnya.

Najib yang menyifatkan pindaan perlembagaan kali ini paling signifikan, radikal dan besar sepanjang sejarah parti itu berkata, sistem kuota yang dihapuskan akan memberikan keadilan kepada semua peringkat pemimpin.

"Adalah tidak adil, jika penghapusan itu setakat jawatan ketua bahagian sahaja, sedangkan bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi ada sistem kuota.

"Kalau itu dilakukan ia seolah-olah, kita hendak melindungi kepentingan kita dan jawatan tertinggi. Oleh itu apabila perkara ini dibincangkan dalam Biro Politik UMNO, saya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kata, kami rela tidak berselindung di sebalik sistem kuota ini," katanya.

Perdana Menteri berkata, ada pihak menyatakan kepada beliau bahawa tindakan menghapuskan kuota berkenaan akan menyebabkan beliau tidak mempunyai perisai bagi melindungi kedudukannya.

"Saya kata perisai saya ialah ahli-ahli UMNO semua sekali, kalau saya seorang Presiden yang bekerja dengan baik, yang dapat berkhidmat kepada parti, yang dapat membela nasib rakyat, menjadi juara rakyat dan membangunkan negara, maka saya serahkan nasib saya kepada ahli-ahli UMNO menentukannya," kata beliau.

Najib berkata, semangat yang sama ada kepada Muhyiddin dan mereka berdua mahu berkhidmat selagi diperlukan oleh ahli parti.

"Kalau kami dapat menentukan kepimpinan yang membawa kepada keberhasilan dan kejayaan, maka pencapaian itulah yang akan menjadi dorongan untuk kami berdua dan rakan-rakan lain bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh.

"Kami tidak mahu kata suruh orang di bawah bekerja, kami di atas ini tak buat kerja, kami di atas ni duduk atas kerusi empuk melunjur kaki, kami mahu menjadi pemimpin teladan yang baik."Kalau kami suruh orang di bawah bekerja, kami juga akan bekerja dengan sepenuh hati dengan komitmen tidak berbelah bagi," kata beliau.

Najib berkata, beliau berterima kasih dengan sikap keterbukaan oleh ketua-ketua bahagian yang bersetuju dengan pindaan perlembagaan yang dilakukan dan ia sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka ingin menjadi warlord yang mahu menjaga kedudukan masing-masing.

"Dalam hal ini, sudah jelas membuktikan ketua bahagian bukanlah warlord seperti mana dicap atau diuar-uarkan, tetapi (mereka) juga ingin perubahan supaya UMNO lebih demokratik dan terbuka," katanya.Presiden UMNO itu menegaskan, melalui pindaan perlembagaan yang dilakukan juga ia akan menjadikan parti itu bersifat inklusif bagi menerima penyertaan semua golongan supaya UMNO kuat.

"UMNO sekarang menjadi parti yang membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa juga, jadi kita kembali kepada asal ketika UMNO ditubuhkan. UMNO jadi kuat kerana ia parti gerakan massa bukan elitis.

"UMNO adalah parti himpunan semua latar belakang dan sebagai satu pergerakan yang mencerminkan hati nurani rakyat, ini kekuatan kita," katanya.

Sehubungan itu Najib mengingatkan agar selepas ini tidak adalah cerita mengenai usaha menghalang seseorang menjadi ahli UMNO atau memberi alasan borang permohonan keahlian hilang.

Sambil menceritakan bagaimana seorang pegawainya gagal menjadi ahli UMNO kerana diberi alasan borang permohonan hilang, Presiden UMNO itu menegaskan, adalah sesuatu yang merugikan jika kehilangan orang yang patut berjuang bersama-sama dalam parti itu hanya kerana UMNO tidak bersikap terbuka.

Oleh itu, Najib mahu semua ahli UMNO meninggalkan sikap lama dan menegaskan, pembaharuan yang dilakukan bukan bersifat perlembagaan sahaja tetapi juga melibatkan budaya dan sikap.

Utusan Online!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan